Penerangan Kes Mengenai Hak Kebebasan Bersuara Kebebasan_bersuara_di_Malaysia

Kes mengenai kebebasan bersuara jelas nampak dalam Abdul Rahman Talib v Seenivasagam & Anor[16], kes ini merupakan kes yang berkaitan dengan kebebasan bersuara seorang ahli Parlimen yang didakwa menjadi suatu fitnah. Plaintif telah mendakwa bahawa defendan pertama dan defendant kedua telah mengatakan sesuatu yang tidak benar iaitu mereka berpendapat bahawa plaintif melakukan rasuah. Plaintif ingin menuntut ganti rugi daripada kedua-dua defendan atas sebab fitnah yang dilemparkan terhadapnya telah menjejaskan nama baiknya.

Fitnah berkenaan pelakuan rasuah plaintif telah dibangkitkan oleh defendan pertama yang merupakan seorang ahli Parlimen. Dia telah mengulangkan apa-apa pendapat yang dikeluarkannya dalam Dewan Parlimen semasa bermesyuarat di “Chinese Assembly Hall”. Dia juga melemparkan kenyataan yang mengandungi fitnah tersebut kepada wakil pihak surat khabar. Selain itu, pada masa yang sama, defendan kedua telah melemparkan satu kenyataan yang mengandungi fitnah berkaitan rasuah kepada orang yang menyertai mesyuarat itu.

Dalam kes ini, defendan pertama menentang dakwaan plaintif dengan mengatakan dia merupakan seorang ahli Parlimen yang dilindungi oleh keistimewaan Parlimen. Tambahan pula, kedua-dua defendan juga menafikan dakwaan plaintif dengan pembelaan justifikasi.

Mahkamah telah memutuskan kes ini dengan tidak membenarkan defendan pertama merujukkan pembelaannya kepada keistimewaan Parlimen manakala pembelaan secara justifikasi adalah dibenarkan. Kita mesti tahu keistimewaan Parlimen tidak melindungi seseorang ahli Parlimen daripada disabit kesalahan apabila dia mengatakan sesuatu tanpa bukti dan juga sesuatu yang sensitif di luar Dewan Parlimen. Perlindungan tersebut hanya memberi keistimewaan kepada ahli Parlimen apabila mereka berunding dalam Dewan Parlimen dengan syarat mereka masih tertakluk kepada Akta Hasutan 1948. Tambahan pula, mahkamah dengan mengambil kira bukti-bukti dalam kes ini secara keseluruhan, maka pembelaan justifikasi kedua-dua defendan dibenarkan. 

Kes Zainur bin Zakaria v Public Prosecutor[17] juga membincangkan isu kebebasan bersuara. Perayu merupakan seorang peguam bela Dato' Seri Anwar Ibrahim yang telah dituduh melakukan empat kesalahan amalan rasuah di bawah Ordinan Darurat No 22 tahun 1970. Dalam perbicaraan, peguam perayu telah memohon untuk menghilangkan kelayakan dua orang pendakwa raya berdasarkan satu deklarasi statutori. Permohonan tersebut disokong oleh satu afidavit. Permohonan tersebut dan afidavit telah difailkan oleh firma perayu. Hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa permohonan tersebut adalah tidak berasas. Beliau mencadangkan menyaman perayu atas sebab penghinaan mahkamah. Hakim menjatuhkan hukuman tiga bulan penjara ke atas perayu. Penghinaan mahkamah juga merupakan salah satu sekatan terhadap kebebasan bersuara atau berpendapat. Hal ini demikian kita tidak dapat mengeluarkan apa-apa buah fikiran dalam mahkamah tanpa memikir tentang kesannya. Kadang-kala, keputusan hakim dan kelakuan Yang Arif tidak boleh dicabar dan dikritik secara terus dalam mahkamah. Jika kita berbuat demikian, kita akan dianggap tidak menghormati mahkamah dan akan disabitkan dengan kesalahan penghinaan mahkamah. Oleh itu, kebebasan kita dalam memberi komen terhadap keputusan atau perkara yang berlaku dalam mahkamah telah disekat. Tambahan pula, terdapat juga situasi yang menyekat kita daripada menyebarkan maklumat yang terdapat dalam mahkamah bagi pengetahuan khalayak umum.

Secara pendeknya, kebebasan untuk bersuara dalam memberi pendapat atau informasi yang diperuntukkan dalam perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan telah dibatasi oleh perkara 126 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa mahkamah dalam menyabitkan kesalahan penghinaan mahkamah terhadap orang yang dianggap telah menyalahgunakan hak kebebasan bersuara. 

Dalam kes Arumugam a/l Kalimuthu v Menteri Keselamatan Dalam Negeri & Ors[18] pula, ia mengenai dengan semakan kehakiman terhadap pengharaman buku dalam Bahasa Tamil menerusi suatu perintah berikutan seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Perintah tersebut ditandatangani oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dengan alasan buku tersebut berpotensi menjejaskan ketenteraman awam. Pemohon yang merupakan penulis buku tersebut telah memohon suatu perintah pengisytiharan bahawa perintah tersebut menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah. Suatu perintah certiorari perlu diperolehi untuk membatalkan atau mengetepikan perintah tersebut. Pemohon juga menuntut ganti rugi terhadap perkara ini.

Pemohon juga berhujah bahawa perintah yang ditandatangani atas nama Menteri Keselamatan Dalam Negeri adalah salah disisi undang-undang kerana kuasa yang diberikan oleh Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 adalah khusus untuk Menteri. Oleh itu, kuasa ini tidak boleh dilaksanakan oleh Timbalan Menteri. Selain itu, pemohon juga berhujah bahawa terdapat pelanggaran kepada peraturan keadilan asasi. Pada masa yang sama, pemohon juga mengatakan bahawa perintah Menteri tersebut adalah tidak wajar kerana kebebasan bersuara seperti yang dijamin Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah dihadkan.

Dalam kes ini, mahkamah telah memutuskan bahawa timbalan-timbalan menteri mesti membantu menteri-menteri dalam pelaksanaan tugas dan kuasa mereka. Selain itu, dibawah Akta Tugas-Tugas Menteri 1969, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri jelas diberi kuasa untuk melakukan, bertindak dan menjalankan kuasa-kuasa di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Di samping itu, buku tersebut bercerita tentang kekacauan perkauman di Kampung Medan. Hal ini merupakan isu ketenteraman awam dan keselamatan negeri. Oleh itu, terdapat fakta-fakta tersedia yang membolehkan Timbalan Menteri memutuskan buku tersebut akan menjejaskan ketenteraman awam serta mengharamkan penerbitannya. Tambahan pula, perintah pengharaman buku tersebut merupakan satu pembatasan yang wajar terhadap kebebasan asasi yang diperuntukan bawah Perkara 10. Hal ini demikian kebebasan mutlak tidak dijaminkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Sekatan-sekatan adalah perlu untuk menjamin keharmonian kehidupan dalam masyarakat demokrasi. Jadi, pengharaman tersebut adalah berkadaran bagi mencapai tujuan yang munasabah.

Kesimpulannya, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 merupakan salah satu sekatan terhadap kebebasan bersuara yang diperuntukkan dalam perkara 10(1a). Akta ini mengehadkan seseorang mengeluarkan pandangan mereka sesuka hati dalam buku, akhbar atau majalah. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan sesuatu pendapat sensitif yang boleh menyebabkan berlakunya kekecohan dalam masyarakat.

Undang-undang yang Menyekatkan Hak BersuaraPenerangan
Akta Hasutan 1948
  • Akta ini digubal bagi melindungi sensitiviti warganegara Malaysia.
  • Seksyen 2 akta ini memberi tafsiran perkataan “menghasut” sebagai apa-apa perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan atau apa-apa benda lain menjadikan perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan atau benda lain itu sebagai yang mempunyai kecenderungan menghasut.
  • Seksyen 3 (1) (f) memperuntukkan bahawa kecenderungan menghasut termasuk menyoal apa-apa perkara, hak, taraf kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan-peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152, Perkara 153 dan Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan.
  • Niat seseorang ketika melakukan sesuatu atau mengatakan sesuatu yang mempunyai kecenderungan menghasut adalah tidak penting dan bukanlah satu dalihan seperti yang termaktub dalam Seksyen 3(3) Perlembagaan Persekutuan.
  • Akta Hasutan (Pindaan) 2015 meminda Seksyen 2 dengan menambah “by electronic means”, in relation to a publication.
  • Kes-kes yang berkaitan dengan isu hasutan:
  1. Pendakwa Raya v Karpal Singh [19]
  2. Mat Shuhaimi Shafiei lwn Pendakwa Raya [20]
  3. Pendakwa Raya lwn Azmi Sharom [21]
Akta Rahsia Rasmi 1972[pautan mati kekal]
  • Akta ini bertujuan meminda dan menyatukan undang-undang berhubung dengan perlindungan rahsia bagi mengelakkan pengaliran, penyebaran atau kebocoran rahsia rasmi yang boleh menjejaskan keselamatan negara.
  • “Rahsia Rasmi” ertinya apa-apa suratan yang dinyatakan dalam Jadual dan apa-apa maklumat dan bahan berhubungan dengannya dan termasuklah apa-apa suratan rasmi, maklumat dan bahan lain sebagaimana yang boleh dikelaskan sebagai ‘Rahsia Besar’,‘Rahsia’, ‘Sulit’ atau ‘Terhad’, mengikut mana yang berkenaan, oleh seorang Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri sesuatu Negeri atau mana-mana pegawai awam yang dilantik di bawah Seksyen 2B.
Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984
  • Akta ini bertujuan menggubal undang-undang yang berkaitan dengan bahan-bahan cetakan, penerbitan dan agihan penerbitan. Kebebasan akhbar bukan suatu kebebasan yang mutlak kerana lesen daripada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri diperlukan sebelum bahan-bahan yang dicetak diedarkan kepada orang ramai.
  • Dalam kes Minister of Home Affairs v Persatuan Aliran Kesedaran[22], responden telah memohon untuk permit di bawah s 6(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 untuk mencetak dan menerbitkan dalam Bahasa Malaysia majalah yang bernama Seruan Aliran. Permohonan itu ditolak oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Mahkamah memutuskan Section 12(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 memberi Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri budi bicara mutlak menolak permohonan mendapat lesen atau permit.
  • Kes yang berkaitan :
  1. Public Prosecutor lwn Pung Chen Choon [23]
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
  • Akta ini berkaitan undang-undang siber.
  • Satu rangka kerja yang membolehkan pemantauan industri komunikasi dan multimedia oleh pihak kerajaan.
  • Akta ini mengawal penyiaran tradisional, telekomunikasi dan perkhidmatan atas talian, termasuk kemudahan dan rangkaian yang digunakan dalam memberikan perkhidmatan tersebut, serta kandungan yang dibekalkan menerusi kemudahan-kemudahan dan rangkaian tersebut.
  • Tiada peruntukan membenarkan penapisan internet.